PERUTUSAN AIDILADHA
Hj. Zaharuddin Bin Alias
Pengerusi KOPUTRA
ﻪﺗﺎﻛﺮﺒﻭﷲﺍﺔﻣﺣﺮﻮﻡﻛﻳﻠﻋﻡﻼﺴﻟﺍ
Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd
Alhamdulillah segala lafaz puji dan syukur hanya terserah pada Allah, penguasa langit dan bumi, pemilik alam semesta serta pusat ketundukan rasa kehambaan sekalian makhluk-Nya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Pada hari yang mulia ini, jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di Padang Arafah bagi menyempurnakan ibadah Haji dan yang lain bertebaran di seantero dunia meraikan Hari Raya Aidiladha.
Kehadiran Aidiladha menuntut kita menghayati natijah dari sebalik ritual ibadah korban semata-mata. Muhasabah untuk kita menilai kehidupan kita, sejauh mana kita menghayati hari yang agung ini dan menjadikannya iktibar dalam kehidupan kita?
Sayugia diingatkan, dunia Islam melihat Malaysia sebagai istimewa dan merupakan model terbaik pembangunan sebuah negara Islam. Justeru, marilah kita bersatu padu dan memelihara perpaduan masyarakat berbilang bangsa negara ini bagi menjamin kestabilan negara.
Islam mengajar kita erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan. Umat Islam diseru untuk menghormati agama lain untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara.
Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, iaitu Sehati Sejiwa, umat Islam semestinya bersedia berkorban, bersepakat dan menyatakan kesepaduan terutama dalam soal akidah, syariah dan akhlak. Jangan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ingin menjadikan kita sebagai jambatan untuk mencapai hajat dan matlamat mereka, sehingga memporak-perandakan negara.
Sama-sama kita berusaha menzahirkan erti pengorbanan dalam setiap tindak-tanduk harian menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dalam memenuhi tuntutan iman dan takwa kerana kejayaan sesebuah KOPERASI bergantung kepada pengorbanan setiap anggotanya. Semangat dan pengorbanan yang sama-sama diterapkan di kalangan anggota - anggota KOPUTRA dalam menuju kejayaan dan kegemilangan KOPUTRA dalam era Koperasi terbaik di Malaysia.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd
Sekian,