PROGRAM KEMAMPANAN PERNIAGAAN
MINES BEACH RESORT, 21 Februari 2026
KPC Property Care Sdn Bhd, anak syarikat kepada Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA), telah berjaya menganjurkan Program Kemampanan Perniagaan dari jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang.
Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha KOPUTRA, En. Sazali bin Sajidin, dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi KOPUTRA dan KPC termasuk Pengerusi KOPUTRA merangkap Pengarah KPC, Tn. Hj. Zaharuddin bin Alias; Bendahari KOPUTRA merangkap Pengarah KPC, Tn. Hj. Saifulzaman bin Ahmad; CEO KOPUTRA, Encik Amran bin Mat Sharif; CEO KPC Property Care, Encik Kamsani bin Muda; serta CFO KOPUTRA, Encik Ardley bin Idris. Program ini turut melibatkan pihak pengurusan ibu pejabat dan para Penyelia Zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur.
Penganjuran program ini bertujuan memperjelas hala tuju, objektif dan sasaran syarikat bagi tahun 2026, di samping menyelaras strategi serta memperkukuh komitmen seluruh warga kerja agar bergerak seiring mencapai matlamat yang ditetapkan.
Antara pengisian utama termasuk pembentangan Bajet 2026 oleh CEO KPC, perkongsian aspek risiko oleh Pengerusi JAD KOPUTRA, pembentangan prestasi 2023–2025 oleh Pengarah KPC, serta laporan operasi dan nota kredit oleh pihak pengurusan operasi. Program turut diserikan dengan sesi “Transformasi Minda” oleh Pengerusi KOPUTRA yang menzahirkan harapan agar KPC Property Care terus mencipta kecemerlangan.
Majlis diakhiri dengan sesi berbuka puasa bersama barisan Pengarah KPC dan wakil KOPUTRA.
Semoga segala perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kelestarian dan kemajuan KPC Property Care Sdn Bhd.














